Adakah anda terfikir untuk berkahwin tapi risaukan status kewangan yang masih belum stabil? Risau tak dapat berikan kesenangan hidup kepada isteri dan anak-anak. Risau rumah tangga huru-hara sebab tak cukup duit. Macam – macam kan yang bermain di fikiran.
Nak Kahwin? Duit Tak Cukup? 5 Janji Allah Tentang Rezeki Buat Raja Sehari
Betul, itu apa yang kita akan fikirkan. Apa-apapun, tahniah sebab itu tanda anda sudah matang dan ada rasa tanggungjawab!
Tapi, kami nak kongsikan kepada anda 5 janji Allah tentang rezeki selepas berkahwin. Semoga anda yang berfikir ‘terlalu berat’ dapat meringankan kembali kerisauan untuk berkahwin itu nanti.
JANJI PERTAMA
Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah An-Nuur : 32)
Insya Allah, jika anda mahu berkahwin, niat yang betul, Allah akan berikan rezeki yang melimpah ruah dan kecukupan yang kadang – kadang tu kita tak sangka. Itulah namanya keberkatan. Apa yang penting, berusaha, rajin bekerja dan sentiasa cari peluang untuk tambahbaik ekonomi.
JANJI KEDUA
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (Surah Ar – Ruum : 21)
Insya Allah, jodoh itu urusan dan tanda kekuasaan Allah. Pernikahan yang berlaku akan membentuk sebuah keluarga yang tenang, aman dan di penuhi dengan kasih sayang. Apabila bekerja dan pulang ke rumah, rasa bahagia sebab dapat berjumpa semula pasangan. Dapat menyemai rasa cinta dan membentuk peribadi pasangan untuk sama-sama ke syurga. Di situ lahirnya ketenteraman dan keberkatan dalam mencari rezeki.
JANJI KETIGA
Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah : 153)
Apabila kita patuh pada perintah Allah untuk mendirikan solat, insya Allah, Allah akan berikan apa yang kita perlukan. Berdoa dan teruskan bersabar. Jika nak rezeki melimpah ruah, berdoalah sesungguhnya, berusaha dan juga bersabar jika belum ditunaikan. Suatu hari nanti pasti Allah tunaikan.
JANJI KEEMPAT
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Surah Muhammad : 7)
Jika kita mengharapkan pertolongan Allah dalam kehidupan kita, bantulah agama Allah.
Nak bantu macam mana? Bantu sebarkan dakwah Islam, bantu pembinaan rumah Allah, bantu institusi pendidikan Islam, bantu selamatkan orang yang jauh tersasar dari Islam dan banyak lagi.
Bersedekah biarpun sedikit, bersedekah walaupun kita dalam keadaan kekurangan. Mungkin dari situ punca rezeki kita berganda.
JANJI KELIMA
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.
Yakinlah rezeki itu Allah yang bagi. Allah berhak lapangkan dan berhak sempitkan. Tapi jika kita selalu bersedekah, selalu mempermudahkan urusan orang lain, selalu buat orang rasa senang dan gembira, sentiasa menjaga pasangan dan keluarga, rapat dengan Tuhan, buat apa yang Allah perintah, tinggal apa yang Allah larang, insya Allah Dia akan berikan rezeki yang sebaik-baiknya buat kita.
Baiklah, itu janji Allah untuk kita. Adakah anda terbuka minda dan mula meyakini kuasa Allah? Sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Allah bertindak mengikut sangkaan hambaNya. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Jangan terlalu risau sehingga menyekat impian anda untuk berumah tangga.
Moga impian raja sehari anda terlaksana. Tapi ingat, kehidupan selepas berkahwin itu yang utama.
Doakan yang baik-baik!